PRAKATA

Buku ini amat sesuai untuk golongan remaja dan dewasa terutamanya yang tidak berpeluang mengikuti aliran pendidikan Islam semasa bersekolah dahulu. Ia disusun dengan mudah supaya dapat difahami, dijadikan bekalan seumur hidup lalu didakwahkan.

Buku ini juga amat sesuai untuk mereka yang mencari kebenaran dan kepuasan dalam beragama, khususnya umat Islam dan Kristian. Ia disusun sedemikian rupa agar membolehkan para pembaca terus berdiskusi ataupun mendakwahkannya sebaik-baik sahaja membaca buku ini. Anda boleh mengeluarkan hujah-hujahnya terus ke dalam forum-forum di internet sebagai permulaan.

Dalam membicarakan agama Jesus @ Nabi Isa a.s, kita menggunakan kitab-kitab dan ajaran agama Kristian itu sendiri di samping bukti-bukti mendatang dan jalan pemikiran yang waras lagi adil. Cukup dengan apa yang ada sedia ada pada mereka sebagai bahan utama. Ayat-ayat Al Quran hanyalah sebagai sokongan sahaja dan bukannya hujah utama. Hal ini kerana penganut agama Kristian tidak mengimani Al Quran sebagai kebenaran, tetapi mereka sukar untuk menolak sekiranya ia datang melalui kitab yang diimani iaitu Bible.

Kepada para remaja Islam terutamanya yang berkeinginan dan bersemangat untuk berdakwah, apakah jawapan dan hujah-hujah kita sekiranya terbit soalan daripada seorang bukan Islam: “Mengapa kamu memilih untuk terus beragama Islam dan menolak agama-agama yang lain? Mengapa kamu tidak menjadi Kristian sahaja?” Apakah agaknya jawapan kita ketika ini? Cukupkah dengan kita mengatakan itu adalah takdir Tuhan, agama Kristian itu salah, ibu bapa saya dulu Islam atau pun kerana agama Islam itu benar?

Memanglah jawapan-jawapan itu dapat memuaskan hati kita, tetapi dapatkah ia memuaskan hati mereka yang bertanya? Bukankah itu satu kesempatan untuk kita berdakwah dengan mengutarakan hujah-hujah bernas agar mereka akhirnya turut sependapat dengan kita iaitu menolak yang lain dan menerima Islam? Jangan lepaskan peluang ini kerana tuntutan berdakwah itu jatuh ke atas semua orang.

Perlu diingatkan, dengan menjadikan buku ini sebagai bekalan tidaklah mencukupi untuk kita menawan hati-hati manusia. Mesti ada bantuan Tuhan, memohon gerak daripada-Nya, terus berusaha meningkatkan ilmu, iman dan amal serta berganding bahu menonjolkan ‘Islam itu indah, Islam itu mudah’ serta aspek-aspek lain yang telah digariskan oleh para ulama.

Alangkah indahnya kalau isi kandungan buku ini dapat dijadikan perbincangan dalam kuliah, bilik darjah, pejabat, usrah-usrah, program-program motivasi, khemah ibadah, seminar dan lain-lainnya. Tentu besar sekali manafaat yang bakal diperolehi.

Saya bercadang untuk menulis buku kedua yang mengutarakan hujah-hujah untuk membetulkan salah faham umat Kristian terhadap Islam.. Pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab banyak mengeluarkan serangan ke atas Islam dari sudut sifat Tuhan, peribadi Nabi Muhammad, ketelusan Al Quran, kesesuaian hukum-hakam dan sebagainya. Maka umat Kristian lain terus mempercayai semua itu tanpa sempat untuk kita terangkan situasi sebenar. Amat banyak. Ini juga mahu kita tangani.

Sedih sekali apabila dalam internet sering kita temui dan berdialog dengan orang yang dilahirkan Islam tapi berpindah agama kepada Kristian ataupun sekurang-kurangnya menjadi tidak beragama apabila mereka terdedah kepada serangan dakwah Kristian, serangan Kristian ke atas agama Islam, pembelaan bijak umat Kristian ke atas agamanya sendiri dan lain-lain. Mereka cuba mendapatkan penjelasan daripada pihak-pihak tertentu tetapi malangnya tidak banyak yang mengerti ilmu perbandingan agama. Pihak-pihak ini gagal memuaskan hati manusia-manusia yang sedang berkonflik ini menyebabkan manusia-manusia ini terus hanyut.

Kesyukuran kepada Tuhan itu tidaklah terkatakan lagi. Cuma saya di sini ingin merakamkan ucapan jutaaan terima kasih (kalau mampu) kepada guru-guru saya, rakan-rakan seperjuangan, para penulis buku-buku yang saya rujuk (atau pun bahan-bahan dan motivasi yang berasal daripada mereka) terutamanya Syeikh Ahmad Deedat, Ustaz Abdul Muta’alas Sa’idy, Dr. Ahmad Shalaby, Kiai Haji Bahauddin Mudhary, Dr. Danial Zainal Abidin, Ustaz Muhammad Ramzi Omar, Ustazah Huda Abdul Rahim, Datuk Nik Aziz Nik Mat, Imam asy-Syahid Hassan al-Banna, Dr. Muhammad Ali al-Khulli, Ustaz Ashaari Muhammad, Ustaz Abdul Qadir Djaelani, Imam Al-Ghazali, Muhammad Isa Dawud, Sayid Qutb, Hajjah Irene Handono, Ustaz Misha’al Abdullah dan banyak lagi tanpa mengambil kira siapa atau apa jemaah dan pendirian mereka.

Seterusnya isteri tercinta yang telah menyediakan segala keperluan diri sepanjang menyiapkan buku ini dengan penuh kesabaran dan ketakwaan. Juga anak-anak buah didikanku yang seumpama mutiara tersembunyi yang bakal meneruskan perjuangan ini, “kamulah inspirasi sebenar” dalam menyudahkan kerja-kerja ini. Tidak dilupakan pastinya teman-teman Kristian yang pernah berdiskusi dengan saya. Kalau bukan kerana mereka, tidaklah saya memahami agama Islam dan Kristian itu seperti hari ini. Dan buku ini tentunya tidak menjadi kenyataan.

“PANDANG GLOBAL, BERGERAK SEBAGAI SATU UMAT’

Abu Zulfiqar “alexanderwathern”

JULAI 2005

No posts.
No posts.